Mari kita sama-sama refresh perkara yang paling BASIC dalam kehidupan kita sehari-hari.
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah SWT kepada setiap muslimin dan muslimat. Sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Di samping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.
Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa, di mana Allah SWT menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut, seperti firman-Nya yang bermaksud, “…dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun ).” (Surah al- Isra’ ayat 23)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “…dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)
Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab : “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan : “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” (Sahih Imam al-Bukhari)
Menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah menderhaka terhadap ibu bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah SWT. Dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak ibu bapa, menderhaka atau membiarkan ibu bapa yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan.
Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah SAW, “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?” Rasulullah SAW menjawab : “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?” Rasulullah menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.” (Sunan al-Nasai')
Apa yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam al-Quran, firman Allah SWT yang bermaksud, “…Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu.” (Surah Luqman, ayat 14)
Hakikatnya tanggungjawab anak-anak dalam melaksanakan hak-hak ibu bapa adalah hak yang paling penting sesudah menunaikan hak Allah SWT dan hak Rasul-Nya. Lantaran itu, hendaklah kita berbakti dan berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, berakhlak mulia sepanjang masa kepada mereka, mengutamakan mereka dalam segala kebajikan dan kebaikan lebih daripada diri kita sendiri, anak-anak dan juga isteri.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan, wang bukanlah satu-satunya medium untuk membalas atau mengenang jasa ibu bapa. Jangan tersilap konsep. Ramai menganggap dengan memberi wang kepada ibu bapa, maka dia beranggapan 'sedang' membalas jasa ibu bapa. Sedangkan membalas jasa ibu bapa lebih luas daripada itu.
Banyak kisah di zaman Rasulullah yang boleh kita ambil iktibar. Kisah pemuda yang menggandar ibu tua dalam cuaca yang panas terik sehingga dia keletihan (untuk mengerjakan haji), usahanya itu tidak sedikitpun dapat membalas jasa ibunya. Ada juga kisah sahabat yang tidak mampu mengucap ketika penghujung hayat, semata-mata kerana membuat ibunya tersinggung. Ada juga kisah seorang perempuan yang tidak menziarahi ayahnya yang sakit sehingga si ayah meninggal dunia pun dia tak ziarah kerana suami tiada di rumah untuk meminta izin keluar rumah. Ayahnya masuk syurga kerana anaknya taat kepada suami... dan macam-macam kisah lagi yang boleh dijadikan teladan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment