games of those days

games of those days
sepak bulu ayam...i used to play this when i was young....days when i was staying in Kamunting, Taiping, Perak.

Saturday, November 12, 2011

Restu Ibu bapa dalam sebuah Perkahwinan

Untuk berkahwin, restu ibu bapa sangat diperlukan.Kenapa? Kita sangat perlu kepada redha atau restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga.

Redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.

Bayangkan kalau kita melangkah ke alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu. Perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Jadi sekiranya kita tidak mendapat restu mereka, adakah sempurna agama kita jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat redha ibu bapa? Dan jika ibu bapa tidak redha, adakah Allah meredhai anak itu?

Jika Tak Direstui

Kesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. Hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa .

Kalau ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat. Perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.

Sering kita terbaca kisah rumah tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya.


Cuba kita renung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas pilihan ibu bapa. Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa.

Apabila Ibu Bapa Diam

Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak menyuarakannya secara terus-terang kerana tidak mahu melukakan hati anak. Begitu sekali ibu bapa cuba untuk menjaga hati anak. Biar hati mereka terguris dengan tindakan anak,namun untuk mereka melukakan ,tidak sekali. Ada pula anak yang terlebih ajar, sanggup menegking ibu bapa,memarahi ibu bapa kerana tidak setuju dengan pilihan mereka. Sudahlah berkahwin tanpa restu, memarahi pula jika mereka balik, tidak mendapat layanan ibu bapa.


Sepatutnya, si anak hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka.Walaupun diam ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui pilihannya. Katanya, lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya, mereka akan iringi dengan nasihat dan kata-kata semangat.


Tapi jika tiada respons atau hambar saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka. Terdapat ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar meredhainya.

Jaga Hati Mereka Sampai Bila-bila


Hati ibu bapa tetap perlu dijaga sampai bila-bila walaupun seseorang itu sudah ada tanggungjawab lain dalam rumah tangga yang dibina.


Bagi seorang wanita yang sudah berkahwin, tanggungjawab untuk mentaati suami tidak mengurangkan hak ibu bapanya untuk ditaati dan dijaga hati mereka. Terdapat kes anak perempuan yang bila sudah berkahwin, tidak balik jenguk ibu bapa dan tidak hubungi mereka dengan alasan mentaati suami. Tidak dinafikan perlunya taat pada suami tapi dalam masa yang sama dia ada tanggungjawab pada ibu bapa yang hatinya perlu dijaga.


Tanggungjawab yang dipikul sebagai isteri atau suami tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabai dan melukakan hati ibu bapa dengan tidak membantu, menghubungi dan mengambil tahu kehidupan mereka. Pendek kata, menurutnya, si anak tidak boleh mengambil sikap, “Saya dah jadi isteri orang atau suami orang, tanggungjawab pada ibu bapa dah kurang.”


Dalam hidup ini, setiap sesuatu akan dibalas. Jika kita menyakiti hati ibu bapa, apakah kita sanggup satu hari nanti anak kita melakukan perkara yang sama pada kita pula?


Di bawah ini ummi bawakan hadith untuk rujukan anak-anak berkaitan mendapat restu dan redha ibu bapa di dalam memilih pasangan hidup.


Hadith ke dua belas : Ibubapa Memiliki Hak Dalam Pemilihan Pasangan Hidup Anak.


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Tidak ada nikah kecuali dengan wali.


Apa yang baginda maksudkan dengan hadis di atas ialah, pernikahan adalah tidak sah tanpa izin wali. Hadis berikut memperincikan maksud hadis di atas:Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya maka pernikahan tersebut adalah batal (baginda mengulanginya tiga kali).

Jika dua hadis di atas merujuk kepada anak perempuan, maka dua hadis berikut merujuk kepada anak lelaki pula. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma berkata:Aku pernah memiliki seorang isteri yang sangat aku cintai akan tetapi ‘Umar (bin al-Khaththab,yakni ayahnya) tidak menyukainya dan menyuruh aku menceraikannya. Namun aku enggan.Maka ‘Umar membawa hal ini kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan menceritakan apa yang berlaku. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menjawab (kepada ‘Abd Allah ibn ‘Umar): “Ceraikanlah dia.”


Dalam sebuah kes yang lain, Abu Darda’ radhiallahu 'anh berkata:Bahawa seorang lelaki datang bertanya: “Sesungguhnya aku memiliki seorang isteri akan tetapi ibu aku menyuruhku menceraikannya.” Abu Darda menjawab: “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, ibubapa adalah pintu syurga yang paling tengah. Terserah kepada kamu (seorang anak) sama ada untuk mensia-siakan pintu itu atau memeliharanya.”


Dari sudut keutamaan, dimana ia membuktikan betapa besar kedudukan dan peranan ibubapa terhadap kita sebagai anak sehingga ia juga menyentuh persoalan pasangan hidup. Memang, ibubapa tidak boleh memaksa kita berkahwin dengan pasangan yang tidak kita sukai. Akan tetapi pada waktu yang sama, kita juga tidak boleh memaksa ibubapa menerima menantu yang tidak disukai mereka. Ringkas kata, anak dan ibubapa tidak boleh saling memaksa dalam persoalan ini. Sebaliknya perlu sama-sama suka dan redha.

Timbul persoalan, bukankah yang berkahwin ialah anak? Maka kenapa pula perlu mendapatkan izin dan redha ibubapa? Persoalan ini dapat dijawab seperti berikut:


1.Ibubapa adalah orang dewasa yang telah merasai asam garam kehidupan berumahtangga. Mereka memiliki pengetahuan yang luas, sama ada melalui pengalaman sendiri atau rakan-rakan, tentang apa yang dapat menjamin kebahagiaan rumahtangga dan apa yang tidak. Berbeza dengan kita sebagai anak-anak, yang dikenali hanyalah cinta atau dgn erti kata lain di dia itu sedap atau sejuk mata memandang. Lazimnya keputusan untuk berkahwin tidak didirikan atas apa-apa penilaian yang matang kecuali cinta dan keputusan selapis yg dibuat semata-mata utk memenuhi nafsu atau membuktikan bahawa mereka sudah matang dan boleh membuat keputusan sendiri. Tindakan demikian sudah tentu boleh mendatangkan kekecohan. Maka izin dan redha ibubapa adalah penting kerana ia dapat membantu dan membimbing kita membina rumahtangga yang berjaya.

2.Perkahwinan bukan sesuatu yang melibatkan pasangan suami isteri sahaja, tetapi ia juga melibatkan keluarga daripada kedua-dua pihak. Justeru izin dan redha ibubapa memainkan peranan yang penting dalam menjamin kebahagiaan dan kesinambungan hidup berumahtangga. Sebab itu apa2 jua kesan drp perkahwinan kedua ibu bapa & adik beradik turut terasa bersama.

3.Mendapatkan izin dan redha ibubapa termasuk dalam keumuman sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah

terletak pada kemurkaan ibubapa. "


Maka jika kita ingin membina rumahtangga yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, binalah ia dengan cara memperoleh keredhaan ibubapa terlebih dahulu.

1 comment:

syazwan said...

As salam...ya,redha itu penting...tp ibu bapa jgn salah una kuasa...mls ckp byk..ia bergantung pada sikap masing2...wasalam..